Wednesday, May 27

-:: Warita Teman ::-

(buat mereka yang mengenali erti sahabat...kembalilah pada yang telah menemukanmu..)

Pencarianmu payah
bukan jasad meminta
hati resah meronta.

Bidayah ilham menemukanmu
dari sarwa kerlipan mengkilau,
di celah gerigi seribu permata.

Kau pernah bicara,
“Kita berteman,
jangan khuatir tentang masa depan”
Senyum bertandang,
sang juara pun rebah terbuntang.

Kau pernah bilang,
“Kita kawan,
jenuh senang, bantuan kupasakkan”
Damai hati menerjah,
mengikut semilir kalam bayu.

Tika ini,
tangan cinta menghalusi jamahan,
buat yang ditemu.
Biar jasadmu bersuara,
dalam derap lelah hari-hari.

Malang…
Larut aroma ghaib belum !
Apakah tidak seenak kasik lidahmu ?
Apakah dhaif sikap diri ?
Sepi merenung,
mata gusar menerka menjauh.

Badan bongkok menunggu lunak menapak,
tangan sambil menadah janji,
tidak bertandang,
hilang dalam selubung penantian.

Nukilan,
Bushra.

Sunday, May 10

-:: Catatan bersama ibu ::-

“Kenapa mak ada baby lagi? Kan adik yang paling kecik. Mana boleh mak ada baby lagi” Aku memukul manja paha mak yang sarat mengandung itu dengan muka masam.

“Nanti adik tak rugi. Adik ada kakak, ada abang, ada adik lagi. Baby rugi..takdak adik. Adik kira hebat la…ada semua” kata mak sambil senyum. Muka aku terus berubah..dari masam bertukar senyum bangga.huhu…

Umur aku waktu itu 5 tahun. Kata-kata itu membuatkan aku sangat menyayangi adikku. Tersangat….melebihi kakak dan abang-abang. Dan segala sesuatu, aku pasti bertanya kepada abang dan kakak kerana aku tahu mereka lebih tua dan makan garam mendahului aku.


“Mak, dayah tak mau ati ayam dan ulam ni” aku menarik muka masam sambil menolak pinggan makan di depanku ke tepi.

Mak mendekati aku. “Dayah..kalau dayah tak makan ulam ni macam mana kalau tiba-tiba sesat dalam hutan dua tiga hari..nak makan apa. Kesian kat badan kalau tak makan ati ayam tu sebab dari ati tu boleh tambah darah dayah” kata mak sambil megusap belakangku. Akhirnya, aku mengambil kembali pinggan yang berisi nasi itu dengan muka masam. Terpaksa juga makan. Sedangkan lauk lain ada terhidang di depan aku. Tapi, pelik…mak letakkan dalam pinggan aku ati ayam yang tak sedap tu dengan ulam yang pahit rasanya.

Umur aku baru mencecah lapan tahun pada waktu itu. Terasa mau ketawa mengenangkan cara pujuk mak dengan alasan yang boleh dikatakan tak kukuh itu. Setiap kali ada makanan yang aku tak suka, alasan masuk hutan tu lah yang mak aku pakai. Tapi..dari situ aku belajar sesuatu yang menjadi tabiaat aku sampai ke hari ini. Aku tak memilih makan. Bak kata sahabat-sahabatku…semua makan kecuali yang haram, batu, kayu dan lain-lain yang tidak boleh dimakan. Huhu……


“Mak, belilah kerusi baru. Kerusi ni dah tren lama mak” Kakak dan abang menyampaikan hasrat mereka. Aku memerhati dari jauh. Dalam hati, bersetuju jugak dengan cadangan mereka. Huhu..

“Takpelah Jahid, Ina…mak sayang kenangan kat kerusi ni. Lagipun, tak rosak pun lagi. Boleh pakai lagi. Duit ni dari beli kerusi lebih baik mak beli tanah untuk simpanan hampa. Biarlah orang kata kita kolot, Allah memandang kita mulia. Bersederhanalah” Aku terkesima. Waktu itu aku berumur 15 tahun. Mak jarang bagi kata-kata direk yang membuatkan kami berfikir langsung.

Setelah aku dewasa begini, baru aku tau. Waktu tu aku sudah boleh berfikir. Aku bukan lagi anak kecil yang harus dipujuk dulu dengan kata-kata manja.


“Kullu `am wa anti bi khair. Semoga diberi ALLAH dengan limpah ilmu seperti mengalir sungai nil. Selamat maju jaya hidayah sayang…dari ibunda” Aku membaca satu-satu tulisan jawi dalam kad raya pertama yang aku dapat dari keluarga sewaktu tahun pertama di perantauan.

Kad raya pertama di perantauan itu menjadi tatapan setiap tahun aku di negara orang walaupun kad-kad baru dari keluarga bersua setiap tahun. Kata-kata mak itu, bagaikan kekuatan doa bagi ku. Aku mengerti itulah doa mak untukku. Usaha menjadi andalan kerana doa mak tidak pernah putus. InsyaALLAH mak…i`ll do the best for ALLAH and you.


Empat situasi di atas benar-benar menjadi ingatanku sampai sekarang kerana ia sangat memberi impak yang sangat bererti bagiku selama aku hidup. KASIH SAYANG, BERSEDERHANA, SHUKUR, dan MENGHARGAI. Itulah hasil paling besar selama aku bersama mak. Ditambah dengan pengajaran-pengajaran lain yang dididik emak secara indirek. Mampukah aku seperti itu apabila aku menjadi ibu nanti ? Pertanyaan itu menyapa dalm benakku. Moga ALLAH memberi kekuatan dalam mendidik akhlak dan sikap anak-anak kelak.


Buat mak…
Walaupun ayah sakit, kau tetap berusaha mendidik anak-anakmu sehingga berjaya dan berakhlak dengan akhlak islami. Mungkin kejayaan anak-anakmu semua ini adalah kasih sayang ALLAH padamu. Kesabaranmu menjaga ayah dan kami tiada tandingannya. Maafkan kami jika ada salah silap dari kami berlima. Aku suka dengan didikan mu yang secara tidak langsung itu. Kami menjadi orang yang berfikir sendiri kebaikan dari kata-kata dan perbuatanmu. Itu kelebihanmu. Moga ALLAH mengampuni dosa-dosa mak. Ameen ya rabbal `alamin…

Kisah yang sudah
dalam sepi masih berbunga
dalam balam tetap bernyawa
tidak pernah pupus.
Bahangnya membakar hati yang makin luluh itu,
hingga merah kembali.

Sejak tangan ayah tidak mengenal kertas,
kaki lembut menjadi keras,
lemah tubuh berganti tegar,
bicara serak semakin hilang gentar.

Biji tasbih berjalan,
jari merah itu tidak jemu.
Letih sudah mulut menguak,
terus terkumat kalimah “La ila ha illallah” .
Semakin bosan tikar melihatnya,
semakin bertambah gelap dahi.
Kekuatan harus dicari,
kerana dia tahu,
pelurus tulang bengkoknya semakin pergi,
tiada yang menemani.

Kerana hemah terlalu dalam,
sabar akan segala,
ibu setenang jiwa,
Rabb menjadi teman,
dan kami tumbuh dewasa,
dari tangan yang berbeza.

Nukilan,
Anakmu.
(sayembara puisi islam GKLN 2008, Makassar, Indonesia)

“Allahummaghfirli waliwalidaiya warhamhuma kama rabbayani saghira…amen ya rabbal `alamin”


SELAMAT HARI IBU :)
Wallahu`alam..