Wednesday, April 29

-:: Mencari yang tersembunyi::-


Perhitungan bermula lagi,
noktahnya tidak pernah henti,
terus menari catatan pasti,
meninggalkan jurang-jurang berisi.

Cerita ini…
Bukti lembayung cinta ilahi,
pada hamba-hambanya yang mengerti,
erti untaian qalbi.

Cerita I
Dari jauh kelihatan pak tua di sawah,
bahunya semakin jatuh,
menjinjing rezki pemberian Ilah.

Cerita II
Tangan jelas semakin melambat,
milik ibu tua di pondok usang,
yang dulunya mengintal tikar mengkuang,
buat rezki anak-anak sedoang.

Namun…
Timbunan dijinjing tidak menghancur luluhkan bahu itu,
cuma perjalanan yang lama,
kadang meletihkan pak tua,
menggapai gamitan indahnya istana.

Untuk ibu tua…
wajah syukur menutupi lemahnya tangan itu,
mengganti keluhan fitrah insan,
yang ingin lari suatu ketika dahulu,
kerana kini anak-anaknya menggapai awan.

“Aku tidak membebani seseorang hambaku
melainkan sesuai kesanggupannya”

Firman Allah menggetarkan gegendang kekasihNYA,
menghapus perhitungan-perhitungan tak pasti,
memancar lorong-lorong catatan diri,
agar qada` qadar tertanam di hati.

Hasil nukilan,

Bushra.

Sunday, April 26

-:: Muhasabah ~ refreshing how to be an excellent muslim student ::-


“Assalamualaikum pak” Saya berusaha memulakan hari yang berdebar-debar itu dengan perkara yang disunnahkan Rasulullah.

“Waalaikumussalam nak. Kenapa?”

“Saya mau kumpul berkas untuk diundi besok” Setiausaha Department Surgery yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Jai itu melihat saya dengan bersahaja.

“Mana berkasnya?” Saya menyerahkan dengan hati berdebar-debar. Walhal bukanlah hari itu akan diundi. Kebiasaan di sini, setelah melalui satu department, kami harus mengumpul semua tugasan selama di department tersebut termasuklah assignment (berkas) untuk diluluskan mengikuti ujian. Untuk clinical students, ujiannya adalah langsung dihadapan examiner di mana examiner ditentukan melalui undian.

“Sesiapa yang memulakan paginya dengan bershukur pada penciptaNYA dan melakukan solat sunat dua rakaat sebelum menunaikan solat subuh, maka akan datang keberkatan dari ALLAH.” Pak Jai berbicara sambil tangannya sibuk menguruskan berkas tugasanku.

“Hanya orang-orang yang berusaha, menguruskan waktunya dengan betul dan tidak melupakan ALLAH akan mendapat apa yang terbaik dari tuhan.” Saya menjadi kaku sebentar mendengar satu-satu kalimah pak Jai. Kepala ligat me`rewind` kembali sebelas minggu yang lalu selama di department ini. Keletihan selalu menjadi alasan untuk tidak berusaha lebih. Pulang sahaja dari hospital selepas sehari penat dalam operating theatre, katil lah menjadi sasaran utama.

Tidak salah untuk memberi hak pada tubuh badan untuk berehat, tapi kalau sudah melebih, semua urusan tidak dapat diselesaikan termasuklah ibadah kepada ALLAH SWT. Daripada merancang untuk memaksimalkan ibadah sunat padaNYA..semuanya akan jadi minimal gara-gara letih menjadi alasan.


BERMULA DARI PAGI.

Saya berminat dengan nasihat Pak Jai pada saya tentang permulaan pagi yang baik. Bermula dari bangun tidur dengan meulakan sunnah rasulullah dan membaca doa bangun tidur akan membuatkan kita tidak lupa siapa yang menciptakan kita. Pada waktu itu, segalanya akan menentukan perjalan dan pekerjaan kita satu hari.

“Ya Allah, sesungguhnya waktu dluhaa adalah waktu dluhaa-Mu, keagungan adalah keagungan-Mu, kebagusan adalah kebagusan-Mu, kekuatan adalah kekuatan-Mu, kekuasaan adalah kekuasaan-Mu, penjagaan adalah penjagaan-Mu. Ya Allah, apabila rizqi kami di atas langit, turunkanlah, bila dalam bumi, keluarkanlah, bila sukar, mudahkanlah, bila haram, sucikanlah, bila jauh, dekatkanlah, dengan hak waktu dluhaa, keagungan, kebagusan, kekuatan dan kekuasaan-Mu. Berilah kepada kami apa-apa yang telah Engkau berikan kepada hamba-hamba-Mu yang shalih-shalih.”

Jika pagi dimulakan dengan bangun lambat, solat subuh terlepas…ketenangan itu akan hilang. Segala urusan jauh dari redha ALLAH kerana kita bangun dengan melupakannya. Apa yang kita pelajari satu hari akan melekat di dalam kepala hanya 30% sebagai akibat dari kurangnya berkah dalam ilmu itu sendiri. Sepertilah seseorang yang memberi kepercayaan kepada kita dalam melakukan sesuatu, apabila kita tidak melakukannya, kita tidak lagi diperhatikannya kerana janji itu tidak dilaksanakan. Ucapan terima kasih pun tidak akan terluncur sebagai penghargaan kepada kita.


INDIVIDU MUSLIM YANG UNGGUL

Kadang-kadang kita sering bertanya. “Kenapa apa yang aku lakukan selalu memberi pengakhiran yang tidak setimpal dengan usaha yang kita lakukan?” Pertanyaan begini sering menghantui pelajar-pelajar dan mahasiswa. Ia akan terbengkalai tanpa jawapan jika kita tidak ada usaha untuk kembali bermuhasabah di mana silapnya.

Berkata Iman Hassan Al-Banna “Wajib ke atas setiap muslim memulakan dengan memperbaiki dirinya, kesempurnaan itu dapat dilihat bila ia telah dapat memiliki beberapa perkara yang meletakkan ia di peringkat tertentu yang menjadikan ia mampu untuk memikul tanggungjawab”

Sebagai seorang pelajar muslim, untuk menjadi seorang yang berjaya, keredhaan dan barakah ALLAH SWT adalah suatu yang sangat membantu. Pelajar yang baik (Good student)akan mendapat keputusan yang cemerlang. Tetapi pelajar yang cemerlang (Excellent student) akan mendapat keputusan yang cemerlang dan seiring dengan barakah dari ALLAH SWT. Untuk mendapatkan barakah dari ALLAH SWT ini, bermula dari menjadi seorang individu muslim yang unggul.

Apakah ciri-ciri individu muslim yang unggul?

1. Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)
Redha Allah sebagai tuhan, Islam sebagai Agama dan Muhammad saw sebagai Nabi.
Sentiasa muraqabah Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir.
Menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.

2. Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)
Perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya.
Perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram.
Tidak melampau atau berkurang (pertengahan) .


3. Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)
Akhlak kita ialah Al-Quran dan ditunjukkan oleh Nabi saw. Dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan individu muslim iaitu sensitive pada persekitaran, tawadhu, benar dalam perkataan dan perbuatan, tegas, menunai janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dan lain-lain.

4. Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)
Walaupun sibuk, perlu belajar dan beribadah.
Melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan).
Menjauhi riba dalam semua lapangan.
Menyimpan untuk waktu kesempitan.
Menjauhi segala bentuk kemewahan apatah lagi pembaziran.
Memastikan setiap sen yang dibelanja tidak sia-sia.

5. Berpengetahuan luas (Mutsaqqafal Fikri)
Pesan Imam Banna: Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi.
Mampu membaca Al-Quran dengan baik dan mentadabburnya.

6. Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)
Belajar adalah suatu perkara yang berat - perlukan badan yang sihat dan kuat.
Rasulullah saw menitikberatkan soal ini. Maksud Hadis : “Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan”
Pesanan al-Banna: “Memeriksa kesihatan diri, mengamalkan riyadhah dan tidak memakan/minum suatu yang merosakkan badan”


7. Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)
Perlu azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam.
Tidak menghiraukan apa orang kata dalam mempraktikkan Islam.
Pelajar muslim yang unggul mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.

8. Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)
Waktu lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula.
2 nikmat yang selalu disia-siakan oleh kebanyakan manusia; nikmat kesihatan dan nikmat kelapangan manusia”- (al Bukhari & Muslim);


9. Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)
Untuk manfaatkan waktu dengan baik, perlu penyusunan dalam segala urusan.
Gunakan segala masa dan tenaga..

10. Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)
Pelajar muslim yang unggul merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang mempelajari ilmu ALLAH bersama-sama.
Seorang pelajar muslim yang unggul bukan hanya memikirkan dirinya, malah member faedah pada teman sekitarnya dalam memahami ilmu.

Maenjadi individu muslim yang unggul dengan ciri-ciri di atas yang disarankan oleh imam Hassan AL-Bana sangat penting dalam menjadi seorang pelajar yang cemerlang. Bukan sekadar di dunia malah di akhirat kerana keredhaan dan barakah ALLAH sentiasa bersama. InsyaALLAH…


Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhirati hasanah……..


Wallahu`alam.


Friday, April 17

-:: R.I.N.D.U ::-


Ya Allah….
Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMU,
bertemu untuk mematuhi (perintah)Mu,
bersatu memikul beban dakwahMu,
hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu,
maka eratkanlah ya ALLAH..eratkanlah akan ikatannya.
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalanMU(yang sebenar).
Penuhkan hati-hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap.
Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman dan keyakinan serta keindahan tawakkal kepadaMu.

Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma`rifat (pengetahuan sebenar) tentangMu..
Jika engakau mentaqdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai syuhada dalam perjuangan agamaMu.
Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.
Ya Allah..perkenankanlah permintaan ini.

Hati ini sangat merindui mereka Ya ALLAH….
Kalau di dunia ini kami bertemu dan berpisah kerana beban dakwahMU..maka jadikanlah kami jiran terdekat di akhirat nanti..ameen ya rabbal `alamin.


Wallahu`alam