Friday, June 19

-:: Hanya ibu yang tahu ::-


“Doktor…sakit sekali. Ndak tahan lagi. Tolong doktor…!!” dari jauh suaranya terdengar mengerang kesakitan.


“Ndak bisa doc. Buka aja…kayak mau mati ma` (saya)!!!” satu sisi telingaku menangkap satu lagi jeritan.


“Astaghfirullah..astaghfirullah..lailahaillallah….” di katil yang lain aku melihat mukanya merah sambil kepalanya tergeleng-geleng seperti menahan sesuatu.


Setiap hari aku mendapatkan situasi di atas yang hampir sama sehingga membuatkan aku berfikir, Subhanallah..hebatnya kekuatan wanita yang ALLAH beri. Sebelum dua nyawa dapat diselamatkan, pasti situasi di atas tidak akan dilepaskan. Cuma mungkin berbeza-beza bagi setiap ibu yang mau melahirkan. Baru 5 minggu di department "obstetric and gynaecology" sudah membuatkan hidup aku benar-benar sibuk dengan shift 12 jam setiap hari tanpa cuti satu hari pun. Aku semakin sebati dengan department ini. Dapat dirasakan seperti ada sesuatu yang menarik di sini yang tidak dapat digambarkan. Moga tugas fardhu kifayah ini dapat aku sambung suatu hari nanti. Ameen..

Apabila berhadapan dengan situasi di atas, mulanya aku tidak tahu apa yang harus dibicarakan pada ibu. Tidak tahu sakitnya itu bagaimana..kerana aku juga belum menghadapinya. Wajahnya menggambarkan segalanya. Yang hanya mampu aku keluarkan adalah istilah sabar. Mengajar mereka istighfar bagi yang beragama ISLAM. Subhanallah…aku tidak dapat membayangkannya. Kadang, apa yang aku nasihatkan..sabar dan sebagainya..bagaikan masuk di telinga kiri dan keluar di telinga kanan mereka. Bagaimana tidak berlaku begitu…waktu sakitnya datang, semuanya dilupakan. Siapa di sebelah dia, siapa yang bersama dia, apa yang dinasihatkan kita, apa yang diajar kita…semuanya tidak dihiraukan. Bukan sengaja tidak menghiraukan itu semua, tapi tahap fokus pada kesakitan itu lebih tinggi. Tidak ada tandingnya.

“Akak tak sedar yang sebenarnya akak dibantu juga oleh bidan dari luar secara manual waktu melahirkan Fathi. Ingatkan akak berusaha dengan kekuatan sendiri. Tu pun, suami akak bagi tahu. Memang tak sedar langsung sebab sakit sangat” cerita seorang sahabatku yang sudah mempunyai seorang anak pada suatu hari.

Itulah kekayaan seorang ibu. Kesakitan itu manis. Manis kerana dari situ timbulnya telaga kasih sayang pada anaknya yang tidak terhingga. Tidak hairanlah dalam sabda Rasulullah SAW, keutamaan pada ibu itu adalah tinggi dari segalanya.

“ Layani Ibumu, kemudian Ibumu, kemudian Ibumu, kemudian Bapakmu, kemudian saudara-saudara terdekatmu kemudian saudara-saudara jauhmu.”

Berbuat baik pada mereka

"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil". Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu; jika kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat." (al-Isra`23-25)

Yakinkah kita yang kita tak pernah mengecilkan hati ibu?

Kita tidak boleh terlalu yakin yang kita tidak pernah mengecilkan hati ibu. Hati ibu itu terlalu sensitif. Cuma kadang-kadang dia menyembunyikan sehingga kabur dari pandangan mata kita. Kisah Al-Qamah telah membuktikan segalanya. Hanya sedikit saja kasih sayangnya dilebihkan pada isterinya. Hanya sedikit..Namun, hati ibunya terasa. Sehinggakan pada waktu beliau mahu meninggal, kalimah syahadah tidak mampu dikeluarkan. Rasulullah SWT meminta ibunya mengampunkan dosanya dan akhirnya Al-Qamah dapat mengucapkan shahadah sebelum meninggal. Peristiwa ini berlaku untuk peringatan pada kita yang hidup setelahnya. Selalulah memohon ampun pada mereka pada setiap waktu. Sebelum melangkah ke sekolah, sebelum tidur malam, setelah solat berjemaah dan sebagainya.

Sedarlah oh anak!

Seorang ibu itu seperti laut. Hamparan airnya yang tidak pernah kering, sesuai bagai kasih ibu yang tidak pernah habis. Dengan cinta yang tidak bertepi dan selalu mengalir sejuk di hati anak-anaknya. Laut pun tidak pernah protes walaupun manusia mengotorinya dengan segala macam sampah. Dan seperti itulah seorang ibu memilih rela menerima perlakuan apapun dari anaknya, dengan menjadikannya sebagai bahagian dari pengabdiannya kepada ALLAH SWT. Kita yang selalu lupa. Lupa susahnya dia bertarung nyawa waktu mahu melahirkan kita. Dengan situasi akhir zaman sekarang, banyak anak-anak menjadi tuan kepada ibunya. Na`uzubillah….

Kerana ini semua, sudah saatnya kita belajar memahami segala perlakuan ibu pada kita, belajar memahami cara ibu mencintai kita, yang mungkin dalam satu dua hal tidak selalu sama dengan
keinginan kita. Maafkanlah ibu. Sebagaimana ibu pun selalu memaafkan kita sepanjang waktu.

Usah disangsikan lagi
inilah lambang kasih sejati
termetri dalam hati ibu
tiada yang dia pinta
melainkan kesejahteraan anak-anaknya
biar dia sendiri terseksa
kerana melahirkan anak itu adalah korban mulia
cuma ibu yang tahu
anugerah kasih tanpa hijab
jadilah ibu, baru kau tahu
kenapa ALLAH meletakkan syurga
di bawah telapak kakinya...
Wallahu`alam.