Thursday, February 25

-:: Tersandarnya sebuah amanah ::-


“Assalamualaikum wbt…” ba memulakan bicaranya sebelum kami melangkah pulang setelah dua hari di rumah mertuaku.

“Selamat datang pada kak long dalam keluarga kami….terimalah kami seadanya…kerana setiap keluarga ada sejarahnya masing-masing…ada kekurangan dan kelebihan tersendiri…” tersekat-sekat ba menyusun ayat dan kelihatan ada air yang bergenang di kelopak matanya. Begitu juga mak.

ALLAH…..hati saya bergetar. Tidak tahu perasaan apa yang bersarang. Kelopak mata saya sudah bergenang air mata.

Bersyukur kerana Allah menemukan saya pada sebuah pertemuan insani yang didambakan oleh setiap muslimah.
Terharu kerana betapa tingginya kasih sayang ibu bapa terhadap anaknya dan penerimaan mereka terhadap saya.
Sedih kerana tidak pasti adakah saya boleh menjadi menantu yang menenangkan hati mereka.
Gembira kerana dapat meluaskan lagi impian Rasulullah dalam membina silaturrahim..alhamdulillah.
Takut sama ada saya boleh atau tidak mengembleng amanah yang bertambah di bahu.

Semuanya bercampur menjadi satu.

“Kak Long..ada apa2 yang nak cakap..?” ba melemparkan pertanyaan pada saya setelah suamiku menyampaikan ucapan terima kasih kepada mereka.

Saya tunduk…air mata saya bergenang..saya kuatkan juga semangat utk berkata2.

“Bismillahirrahmanirrahim….pertama sekali..izinkan dayah membahasakan diri dayah sebagai kak long seperti ba cakap tadi. Terimalah kak long seadanya..Kak long ada keburukan dan kekuatan tersendiri…tegurlah kak long seperti anak sendiri kalau ada salah silap.” Air mata saya meluncur bertambah laju.

Amanahku bertambah sebagai seorang isteri, sebagai seorang anak, sebagai anak sulung yang tidak pernah dipikul, sebagai seorang menantu dan terutamanya sebagai seorang muslimah yang telah dididik dalam taman dakwah sejak kecil dalam kata lain makhluk ALLAH yang bertanggungjawab mengamalkannya untuk menyampaikan pada orang sekeliling. Moga pertanyaanNYA di akhirat nanti dapat kujawab. Ameen.

RUMAHTANGGA MUSLIM MERUPAKAN RISALAH

Membina baitul muslim bukanlah hanya untuk dua individu sahaja (suami dan isteri) tetapi juga untuk orang baru di sekeliling kita. Terbinanya masyarakat muslim setelah terbinanya baitul muslim BUKANLAH HANYA melalui lahirnya anak-anak dari rumah tangga dakwah ini. Namun juga melalui orang-orang baru di sekeliling kita yakni keluarga mertua kita sendiri. Apabila aqad dilafazkan oleh sang suami yang betaqwa pada sang ister yang bertaqwa maka bertasbihlah seluruh alam dan membuaklah kemarahan syaitan durjana.

Kerana apa ?

Kerana tugas dakwah individu itu sudah semakin kukuh. Sayap kiri dan kanannya sudah lengkap. Tersebarlah titik-titik contoh yang baik pada orang sekelilingnya. Maka dapatlah tergapai masyarakat muslim yang lebih ramai.

Salah satu penulisan Mustafa Masyhur mengenai pembangunan rumah tangga adalah Rumahtangga Muslim Merupakan Risalah.

Sebagaimana kita menghendaki bentuk yang benar dan hidup bagi Islam dari seorang muslim yang benar aqidahnya, yang benar ibadatnya, yang benar akhlaknya, yang benar sikap dan yang benar segala tindak tanduk dan perkataannya, demikian juga kita menghendaki rumahtangga muslim itu supaya menjadi pusat perlaksanaan segenap ajaran Islam di dalam hidup berkeluarga dengan perlaksanaan yang selamat sejahtera dan teliti.

Kita mengingini rumahtangga muslim yang memelihara hubungan silaturahim, yang sentiasa mengambil berat urusan kerabat dan menyempurnakan hak-hak mereka. Kita hendak melihat rumahtangga dan keluarga muslim menjadi satu bentuk yang ulung di mana Islam telah terpahat kukuh di dalam diri mereka.

Kita menghendaki rumahtangga muslim yang melahirkan contoh teladan yang baik di segala jurusan hidupnya. Dengan pakaiannya yang Islami, makanan yang halal, minuman yang halal, akhlak yang mulia, sikapnya yang Islami, gaya yang Islami di segala adat dan tradisi di waktu suka dan duka. Agar menjadi contoh pada indvidu sekitarnya.

Kita tidak mahu melihat dari golongan sahib-ad-dakwah yang menyeru manusia kepada Allah, yang berjalan di atas jalan dakwah melakukan sebarang kecuaian atau kelalaian di dalam melahirkan serta membina anggota-anggota keluarganya dengan ajaran Islam di dalam sebarang jurusan hidup keluarganya. Sesungguhnya orang yang lemah dalam memimpin rumahtangganya, tidak akan mampu memimpin orang lain apatah lagi rumahtangga orang lain.

PERKAHWINAN ADALAH SEBUAH TANGGUNGJAWAB DAN AMANAH

Seusai solat…saya berfikir kembali..mengenang kembali hari pertama penerimaan keluarga di rumah mertua. Tanggungjawabku bertambah…amanahku berganda…

Tiap-tiap dari kita ini adalah pemimpin, dan setiap pemimpin itu bertanggungjawab terhadap rakyatnya, maka bertaqwalah kepada ALLAH dalam perkara yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan kepada kita (kerana kita ini pemimpin).

Rasulullah s.a.w bersabda:

“ Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik di kalangan kamu terhadap ahlinya”.

Wallahu`alam.

Friday, January 29

-:: KONOTASI ::-


KONOTASI
(buat yang terumbang dalam cinta insani)

Manis bibir bicara dakwah,
mata jernih gelap tergugah.

Lembut tangan membelai cinta,
menutupi sarwa kasih sang Pencipta.

“Bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu
dari diri yang satu dan ALLAH menciptakan pasangan darinya”

Wacana firmanNYA menjadi mainan
lantaran ghurubnya agama,
indah menjadi raja!

Bila langkah payah beribu,
makin runcing tajam liku,
jalan tujuan penuh batu,
rumah idaman ditinggalkan berdebu.

Kerna dulu..
Binaanya dari permata palsu,
Tiangnya dar kayu nafsu,
bumbungnya dari pelepah rapuh tak bersatu!

Ujian atau kafarah?

Ada konotasi di balik kelam
“Rabbi..inni zholamtu nafsi”

Nukilan,
Bushra (Nurhidayah)
Sayembara Puisi Islami 2009 (Disember 2009)

Sunday, October 25

-:: Sekelumit kenangan ::-




Sedang aku tekun menyusun barang-barang yang mau dibawa pulang ke Malaysia, mata terpaku pada beberapa barang kecil yang aku letakkan ke tepi sebelum dimasukkan ke kotak. Sebelumnya, aku dahulukan barang-barang besar yaitu buku-buku medical yang tebal dan baju-baju yang mau dibawa pulang. Hakikatnya..barang-barang kecil yang aku pinggirkan itu adalah sesuatu yang tidak dapat dijual beli. Pengalaman, penghargaan dan kasih sayang teman-teman terdekat. Itulah salah satu nikmat damai dan bahagia dari ALLAH SWT yang disalurkanNYA melalui teman-teman sekelilingku.

“Dayah..benda-benda kecil tu pun dayah nak bawak balik ke?” temanku mengeluarkan ketidakpuasan hatinya. Rimas agaknya melihat aku menyusun satu-satu barang-barang itu ke dalam kotak dengan teliti. Aku memekakkan telinga. Sayang meninggalkannya. Bukan kerana bentuk fizikal dari barang-barang tersebut yang sangat comel, tetapi kerana aku mendapatkan sesuatu dari situ. Sesuatu yang tidak dapat dibayar!

PENGALAMAN DAN PIMPINAN

“Salah seorang dari kita kena masuk dalam pimpinan untuk tahun ni. Ana rasa enti boleh membantu majlis tertinggi dalam PKPMI. Lagipun baru seorang third year yang ada dalam MT. Boleh ke enti berkorban jap ni ? Bantu mereka dalam mencapai biah solehah di sini.” masih terngiang-ngiang kata-kata ukhti Kawtsar selepas syura waktu itu.

Bukan senang untuk berada dalam pimpinan kalau sudah melangkah kaki dalam tahun ke tiga. Sesuatu perkara yang “membunuh diri” bak kata kawan-kawan aku kat sini. Memikirkan tahun ketiga adalah tahun terakhir pre-clinical, maka subject-subject yang diambil agak berat. Bertambah berat apabila jawatan yang diberi adalah setiausaha agung. Aku pening memikirkan. Ini bermaksud dua tahun berturut-turut aku berada dalam persatuan ini dan memegang antara jawatan yang paling banyak akan ALLAH tanyakan di akhirat nanti. Wallahu`alam.

“Adakah ini suatu jihad? Mampukah aku memegangnya? Kalau aku tak dapat memenuhinya..tak dapat mencapai matlamat yang sahabat-sahabat inginkan..berdosakah aku?” bertubi-tubi pertanyaan datang di benak.

Aku melangkah ke dalamnya bersama tawakkal. Aku bukanlah orang yang terlalu banyak ilmu pimpinan dan simpang siur agama. Aku bukanlah orang yang dalam pelajaran adalah sentiasa di barisan terdepan apatah lagi untuk membahagikan pelajaran dan pimpinan. Apabila melepasi hari demi hari dalam pimpinan..kemanisan itu tidak dapat diungkapkan. Terlalu banyak kenangan pahit manis berjuang bersama. Terlalu banyak teguran dari ALLAH untuk kami dalam memperbaiki lagi apa yang dilakukan. Dalam masa yang sama menjadi pedoman untuk kehidupan seharian. Terlalu banyak kebahagiaan dirasakan apabila kita cuba memberi seadanya pada orang di sekitar kita.

“Siapakan yang mahu memberi pinjaman kepada ALLAH dengan pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan ALLAH) maka ALLAH akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan gandaan sebanyaknya”( Al-Baqarah:245)

Abu Darda` apabila mendengar ayat ini, dia merasakan tidak ada pilihan lain melainkan bersedekah dengan harta yang paling dikasihinya lagi berharga. Harta yang dimaksudkan sangat luas termasuklah masa dan pelajaran. Kedamaian dan kebahagian dalam menjalani ini semua hanyalah kurniaan ilahi melalui bentuk yang berbeza. Jika kita benar-benar yakin denganNYA..yang berat terasa sangat ringan.

KASIH SAYANG TEMAN

“Dayah..jom keluar makan, aku belanja kau sempena birthday kau.” Entah ajakan ke berapa aku terima pada tarikh 2 Oktober yang lalu. Tak terhitung.

Kembali aku mengingati zaman kecil dan persekolahan dahulu. Waktu itu, susah mendengar pelawaan dari teman-teman untuk belanja makan. Namun, zaman-zaman begitu hadiah selalu menjadi tanda kasih sayang teman-teman untuk aku. Banyaknya sampai tidak tahu mau disimpan di mana. Semakin beranjak ke umur 24 tahun ini, tanda kasih sayang dan ingatan teman-teman semakin bertukar arus. Dari hadiah kepada belanja makan. Aku sangat menghargainya walaupun kadang rasa sudah terlalu penuh makanan di dalam perut. Huhu….Itulah salah satu sebab aku susah untuk meninggalkan hadiah-hadiah mereka.Mungkin bila aku sudah beranjak ke 30 tahun, tidak ada lagi kenangan fizikal yang boleh aku simpan. Jadi simpanlah penghargaan-penghargaan itu sebaiknya.

Memberi hadiah kepada saudara ketika yang munasabah adalah salah satu dari jalan untuk megukuhkan ukhuwwah.

“Hendaklah kamu member hadiah, ia boleh membangkitkan kasih sayang dan menghapuskan rasa dendam di dalam hati” [Riwayat Dailami dari Anas]

Yang paling penting persaudaraan dan ukhuwwah ini didorong oleh keimanan dan untuk memperoleh ketaqwaan.

Terima kasih kalian atas kasih sayang yang telah diberikan!

ITU YANG SUSAH DILUPAKAN

Walaupun banyak perkara di bumi Makassar ini menguji kesabaran terutama dalam hal-hal menuntut ilmu dan berkomunikasi dengan masyarakat di sini, namun ada perkara yang mebuatkan aku sedih dan terasa manis bila mengingatinya. Penghargaan teman-teman sekeliling dan pengalaman pimpinan ini. Semoga apa yang baik ini menjadi buah untuk terus mensyukuri nikmat ALLAH SWT kerana hakikatnya perasaan damai dan bahagia ini adalah kurniaan ilahi.

Wallahu`alam.

Friday, September 25

-:: Baarakallahu`alaik adikku sayang ::-

Fatimah dan kawan2 (paling kiri)
“Adik dah selamat sampai kat Mu`tah. Ni number baru adik” begitulah sms yang tertera di telefonku.

Alhamdulillahirabbil`alamin. Segala puji bagi ALLAH yang memelihara perjalanannya. Semoga pemeliharaan ini sehingga selama-lamanya.

Selamat jalan adik ke negeri Syam yang penuh barakah untuk mencari ilmu-ilmu ALLAH yang tiada tandingan. Semoga adik di bawah redha ALLAH sentiasa. Jejaklah perjuangan para ulama` sebelum-sebelum ini. Jangan sia-siakan peluang yang ALLAH bagi ini.

Kak Hidayah akan sentiasa mengingati adik dan kenangan-kenangan kita bersama….
Uhibbuki Fillah…

Wallahu`alam

Tuesday, September 22

-:: Salam Aidilfitri dari perantauan ::-

Batch 2004 - Salam lebaran dari kami semua
Alhamdulillah...segala puji bagi ALLAH SWT atas segala nikmat yang diberi.
Ramadhan telah 3 hari meninggalkan kita. Sesekali kerinduan menerjah. Semoga dengan puasa sunat 6 di bulan Syawal ini dapat mengubati kerinduan itu. InsyaALLAH.
Saya memohon berjuta kemaafan atas keterlambatan mengucapkan Selamat Hari Raya Adilfitri pada semua keluarga dan sahabat handai yang mengenali diri ini. Maaf dipinta atas segala kesalahan yang sengaja atau tidak disengajakan. Semoga anda semua dan diri saya sendiri dinaungi keredhaan ALLAH SWT pada bulan kemenangan ini....
KESEDIHAN SUDAH MENERJAH
Tahun ini insyaALLAH adalah tahun terakhir saya dan kawan-kawan seangkatan menyambut Aidilfitri di negara orang memandangkan ini adalah tahun ke 5 kami di sini. Walaupun masing-masing masih bertugas di department dan harus menyelesaikan satu atau dua lagi department, kesedihan sudah terasa. Masakan tidak....5 tahun ini kawan-kawanlah sebagai keluarga. Walaupun kadang ada tersalah paham, tergurau senda berlebihan, kawan jualah yang menjadi tempat terakhir untuk menangis. Yang tua bagaikan kakak dan abang, yang muda bagaikan adik sendiri.
Terima kasih atas segalanya (nak sebut pun banyak sangat). Terasa kalian semua lebih "memberi" kepada saya daripada saya "memberi" kepada kalian. Pada group mate clinical, terima kasih atas tunjuk ajar dan nasihat serta ilmu yang diberikan. Minta maaf kalau ada salah silap pada kalian.
Terutama pada kak yani, terima kasih atas segala nasihat dan menjadi pendengar setia ngomelan adik akak yang sorang ni.
Pada Yan, terima kasih menjadi tempat menangis dan ketawa aku.
Pada ayong, nasihat dan semangat ko pada aku dari matrik sampai skarang dalam pelajaran aku tak lupa. Tengok je ko dah naik semangat belajar..huhu.
Pada shain dan k fizah, terima kasih jadi housemate yg baik suatu ketika dulu. Minta maaf kalau ada salah silap sepanjang kehidupan kita bersama. Saya manusia biasa yang banyak sangat kelemahan.
Pada Yazid, Alan, Iman dan Maimanah, sepanjang memegang pimpinan, saya minta maaf kalau ter "over" dari kalian dalam memberi arahan. Kadang-kadang mungkin ada yang terguruis hati dalam melaksanakan gerak kerja, maafkan saya.
Dan pada kawan-kawan lain, minta maaf atas segala kesalahan dan terima kasih atas segalanya.

Semoga ukhuwwah kita berkekalan sehingga akhir usia...
Wallahu`alam.