Thursday, February 25

-:: Tersandarnya sebuah amanah ::-


“Assalamualaikum wbt…” ba memulakan bicaranya sebelum kami melangkah pulang setelah dua hari di rumah mertuaku.

“Selamat datang pada kak long dalam keluarga kami….terimalah kami seadanya…kerana setiap keluarga ada sejarahnya masing-masing…ada kekurangan dan kelebihan tersendiri…” tersekat-sekat ba menyusun ayat dan kelihatan ada air yang bergenang di kelopak matanya. Begitu juga mak.

ALLAH…..hati saya bergetar. Tidak tahu perasaan apa yang bersarang. Kelopak mata saya sudah bergenang air mata.

Bersyukur kerana Allah menemukan saya pada sebuah pertemuan insani yang didambakan oleh setiap muslimah.
Terharu kerana betapa tingginya kasih sayang ibu bapa terhadap anaknya dan penerimaan mereka terhadap saya.
Sedih kerana tidak pasti adakah saya boleh menjadi menantu yang menenangkan hati mereka.
Gembira kerana dapat meluaskan lagi impian Rasulullah dalam membina silaturrahim..alhamdulillah.
Takut sama ada saya boleh atau tidak mengembleng amanah yang bertambah di bahu.

Semuanya bercampur menjadi satu.

“Kak Long..ada apa2 yang nak cakap..?” ba melemparkan pertanyaan pada saya setelah suamiku menyampaikan ucapan terima kasih kepada mereka.

Saya tunduk…air mata saya bergenang..saya kuatkan juga semangat utk berkata2.

“Bismillahirrahmanirrahim….pertama sekali..izinkan dayah membahasakan diri dayah sebagai kak long seperti ba cakap tadi. Terimalah kak long seadanya..Kak long ada keburukan dan kekuatan tersendiri…tegurlah kak long seperti anak sendiri kalau ada salah silap.” Air mata saya meluncur bertambah laju.

Amanahku bertambah sebagai seorang isteri, sebagai seorang anak, sebagai anak sulung yang tidak pernah dipikul, sebagai seorang menantu dan terutamanya sebagai seorang muslimah yang telah dididik dalam taman dakwah sejak kecil dalam kata lain makhluk ALLAH yang bertanggungjawab mengamalkannya untuk menyampaikan pada orang sekeliling. Moga pertanyaanNYA di akhirat nanti dapat kujawab. Ameen.

RUMAHTANGGA MUSLIM MERUPAKAN RISALAH

Membina baitul muslim bukanlah hanya untuk dua individu sahaja (suami dan isteri) tetapi juga untuk orang baru di sekeliling kita. Terbinanya masyarakat muslim setelah terbinanya baitul muslim BUKANLAH HANYA melalui lahirnya anak-anak dari rumah tangga dakwah ini. Namun juga melalui orang-orang baru di sekeliling kita yakni keluarga mertua kita sendiri. Apabila aqad dilafazkan oleh sang suami yang betaqwa pada sang ister yang bertaqwa maka bertasbihlah seluruh alam dan membuaklah kemarahan syaitan durjana.

Kerana apa ?

Kerana tugas dakwah individu itu sudah semakin kukuh. Sayap kiri dan kanannya sudah lengkap. Tersebarlah titik-titik contoh yang baik pada orang sekelilingnya. Maka dapatlah tergapai masyarakat muslim yang lebih ramai.

Salah satu penulisan Mustafa Masyhur mengenai pembangunan rumah tangga adalah Rumahtangga Muslim Merupakan Risalah.

Sebagaimana kita menghendaki bentuk yang benar dan hidup bagi Islam dari seorang muslim yang benar aqidahnya, yang benar ibadatnya, yang benar akhlaknya, yang benar sikap dan yang benar segala tindak tanduk dan perkataannya, demikian juga kita menghendaki rumahtangga muslim itu supaya menjadi pusat perlaksanaan segenap ajaran Islam di dalam hidup berkeluarga dengan perlaksanaan yang selamat sejahtera dan teliti.

Kita mengingini rumahtangga muslim yang memelihara hubungan silaturahim, yang sentiasa mengambil berat urusan kerabat dan menyempurnakan hak-hak mereka. Kita hendak melihat rumahtangga dan keluarga muslim menjadi satu bentuk yang ulung di mana Islam telah terpahat kukuh di dalam diri mereka.

Kita menghendaki rumahtangga muslim yang melahirkan contoh teladan yang baik di segala jurusan hidupnya. Dengan pakaiannya yang Islami, makanan yang halal, minuman yang halal, akhlak yang mulia, sikapnya yang Islami, gaya yang Islami di segala adat dan tradisi di waktu suka dan duka. Agar menjadi contoh pada indvidu sekitarnya.

Kita tidak mahu melihat dari golongan sahib-ad-dakwah yang menyeru manusia kepada Allah, yang berjalan di atas jalan dakwah melakukan sebarang kecuaian atau kelalaian di dalam melahirkan serta membina anggota-anggota keluarganya dengan ajaran Islam di dalam sebarang jurusan hidup keluarganya. Sesungguhnya orang yang lemah dalam memimpin rumahtangganya, tidak akan mampu memimpin orang lain apatah lagi rumahtangga orang lain.

PERKAHWINAN ADALAH SEBUAH TANGGUNGJAWAB DAN AMANAH

Seusai solat…saya berfikir kembali..mengenang kembali hari pertama penerimaan keluarga di rumah mertua. Tanggungjawabku bertambah…amanahku berganda…

Tiap-tiap dari kita ini adalah pemimpin, dan setiap pemimpin itu bertanggungjawab terhadap rakyatnya, maka bertaqwalah kepada ALLAH dalam perkara yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan kepada kita (kerana kita ini pemimpin).

Rasulullah s.a.w bersabda:

“ Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik di kalangan kamu terhadap ahlinya”.

Wallahu`alam.

2 comments:

  1. selamat pengantin baru buat akak n suami. Moga bahagia selalu n ia menjadi pondasi lahirnya pejuang2 islam kelak. Maaf xdak wakil yang dapat hadir ke majlis perkahwinan akak sbb semua xdpt cuti.

    ReplyDelete
  2. shukran jazilan wansu...insyaALLAH..ameen.
    takpe akak paham...

    ReplyDelete